Cari Tajuk Maklumat

Ahad, 20 Jun 2010

Melewati Sempadan Masa (Mimpi Psikik)

Pernahkah anda mempunyai visi atau mimpi psikik?. Mungkin ya atau mungkin tidak. Tanyalah pada diri anda.
Setiap manusia sememangnya mempunyai kelebihan meramalkan apa yang akan berlaku. Melalui pemikiran yang matang, kita akan dapat mengagak kesan daripada sebarang tindakan atau perbuatan (action and reaction). Sebagai contohnya, jika kita mencuri, sudah tentu akibatnya kita akan ditangkap dan dibicarakan. Ini ramalan biasa. Bagaimana dengan ramalan yang lebih kompleks? Misalnya seperti apa yang bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln pernah lalui.
Pada malam kemenangan politiknya pada tahun 1860, Abraham Lincoln pulang ke rumahnya dan terus terlena di atas sofa. Hari itu cukup menggembirakannya, tapi dia juga keletihan selepas meraikan kejayaan bersama teman-teman seperjuangan. Keesokannya, Abraham memberitahu pembantu politiknya bahawa semalam dia telah bermimpi melihat imejnya sendiri di dalam sebuah cermin. Namun, imej itu agak pelik, kerana terdapat dua bayang yang bertindih diantara satu sama lain. Kemudian bayang itu hilang.

Malam seterusnya, dia bermimpi sekali lagi. Kali ini didapatinya, imej dalam cermin itu, satu pucat dan satu lagi tidak. Bertahun-tahun selepas kejadian itu, Abraham Lincoln bermimpi aneh lagi. Kali ini dia melihat sebuah majlis pengembumian di tingkat bawah White House. Dalam mimpi itu, dia sempat bertanya tetamu yag hadir tentang siapakah yang meninggal dunia. Mereka menjawab, Presiden Amerika telah mati dibunuh. Beberapa minggu selepas itu, Abraham Lincoln telah mati ditembak di teater Ford.
Berita pengalaman aneh presiden ini telah dilaporkan oleh pembantunya dalam Harper's Monthly Magazine pada bulan Julai 1865.
Anda boleh andaikan apa sahaja pada kisah di atas. Namun, saya percaya sepanjang kehidupan anda, tentu ada sekurang-kurangnya sekali anda mengalami kejadian yang digelar mimpi psikik ini. Kebolehan ini sememangnya wujud dan benar-benar berlaku pada setiap individu. Sama ada kuat atau lemah kebolehan ini, sedar atau tidak, ianya tetap ada pada semua orang. Kebolehan psikik ini boleh dilatih secara sedar oleh semua (walaupun ada sesetengah insan yang bertuah dianugerahi sejak lahir dengan kebolehan 'intuisi' yang hebat). Sebagaimana sesetengah dari kita yang hebat dalam bidang matematik, sukan, muzik dan bidang-bidang yang lain. Kebolehan psikik ini boleh ditingkatkan melalui fokus dan latihan yang penuh dedikasi.
Antara corak latihan yang digunakan bagi memantapkan kebolehan semula jadi ini adalah: Meditasi, Pemikiran positif dan keseimbangan Rohani.




Sabtu, 19 Jun 2010

Kucing Bantu Kawal Tekanan Darah Tinggi


KUCING adalah antara haiwan yang paling koperatif dengan manusia. Bukan sekadar haiwan peliharaan yang menjadi peneman dan penghibur, kajian menunjukkan kucing juga mampu mengawal tekanan darah tinggi pemiliknya.
Mengikut penyelidikan yang dilakukan oleh Profesor Karen Allen dari Pusat Penyelidikan Waltham, London, seseorang yang membela kucing sebagai haiwan peliharaan kurang berpontensi untuk mendapat penyakit darah tinggi dan stres. Malah, seseorang yang menghidapi penyakit ini kemudian mengambil kucing sebagai haiwan peliharaan, tekanan darah mereka secara signifikan akan menjadi lebih stabil.
Allen dan pasukan penyelidiknya telah melakukan kajian untuk menilai kesan sokongan sosial haiwan peliharaan seperti kucing terhadap degupan jantung, tekanan darah dan tahap stres seseorang. Kajian tersebut menjurus kepada persoalan bagaimana haiwan peliharaan boleh membantu pemiliknya daripada sudut psikologi.
Pada kajian tersebut Allen telah memilih secara rawak 24 responden yang menghidapi penyakit darah tinggi untuk dirawat. Dia seterusnya menghadiahkan mereka seekor kucing setiap seorang. Manakala, 24 lagi responden yang menghidapi penyakit sama dipilih tanpa mempunyai hubungan secara langsung dengan sebarang haiwan peliharaan.
Pada awal kajian tersebut, para pesakit rata-rata mempunyai tahap tekanan darah 160/104. Namun, enam bulan selepas diberi rawatan, termasuk rawatan psikologi haiwan peliharaan, hasilnya sangat menakjubkan. Kadar tekanan darah pesakit yang mempunyai kucing menurun. Manakala kadar tekanan darah mereka yang tidak mempunyai kucing meningkat dengan lebih tinggi.
Hasil kajian tersebut Allen merumuskan, haiwan peliharaan seperti kucing sangat baik mengawal stres mereka yang menghadapi tekanan darah tinggi. Menurutnya lagi, menyayangi haiwan seperti kucing dapat memberikan pengaruh psikologi yang menenangkan tekanan darah dan degupan jantung.
Menurut Veterina Zoo Negara, Dr. Muhammad Daniel Felix, kucing adalah haiwan terbaik yang boleh memberi kesan psikologi kepada manusia. Namun, dalam masa yang sama kucing boleh membawa penyakit pada pemiliknya seperti asma, tokso, dan rabies. Justeru, bagi pemelihara kucing, Dr. Felix menasihatkan agar kebersihan kucing perlu dijaga sebaik mungkin untuk menghindari dari penyakit yang disebabkan oleh haiwan ini.

HAIWAN SEMBILAN NYAWA

Masyarakat melayu paling menggemari kucing sebagai peliharaan. Kucing adalah mamalia karnivor daripada subspesies felis silvestris catus. Ia adalah keturunan kucing liar Afrika, felis silvestris lybica.
Haiwan peliharaan ini adalah salah satu haiwan paling hebat di dunia. Ia mampu membunuh atau memakan beberapa ribu spesis haiwan lain. Berbeza dengan kucing yang dikatakan hidup berkelompok di dalam hutan, sama seperti kucing hutan yang boleh kita temui sekarang.
Daya pendengaran haiwan ini lebih peka daripada manusia dan anjing. Ekornya digunakan untuk mengawal keseimbangan badan, terutamanya ketika melompat atau berlari.
Kemampuan penglihatan kucing sangat baik iaitu enam kali lebih baik daripada manusia dengan luas daripada manusia dengan luas pandangan sehingga 185 darjah. Matanya mempunyai lapisan perefleksi cahaya yang disebut tapetum, yang berfungsi untuk memperkuatkan cahaya yang masuk ke retina. Selain itu, misai kucing juga mempunyai sensor yang sangat sensitif kepada gelombang. Ia juga boleh digunakan untuk bergerak ketika matanya tidak boleh melihat. Disebabkan itu, kucing tiada masalah untuk bergerak dalam keadaan gelap.
Pada abad pertengahan, sekitar abad ke-10 dan 11, kucing dianggap haiwan yang mempunyai kaitan dengan langsung dengan ahli sihir. Justeru, kucing dibunuh secara berleluasa, sama ada dibakar atau dilempar ke bawah gaung yang tinggi. Disebabkan kepercayaan tersebut, ahli sejarah percaya bahawa wabak 'black death' atau wabak pes tersebar dengan cepat di Eropah. Ia adalah disebabkan oleh peningkatan populasi tikus yang membawa wabak tersebut. Mitos juga ada menyebut, kucing adalah haiwan yang mempunyai sembilan nyawa. Gelaran tersebut dipercayai diberi kerana kucing masih mampu hidup jika terjatuh dari tempat tinggi.





Jumaat, 18 Jun 2010

Lembah Paling Rendah Di Muka Bumi





Laut Mati yang terletak di sempadan Palestin, Jordan dan Israel, suatu ketika dahulu pernah mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam peradaban manusia. Kesan peninggalan itu masih kekal sehingga kini dan ia terus menjadi sejarah.
Peristiwa yang paling sinonim dengan Laut Mati ialah kemusnahan kaum sodomi iaitu kaum nabi Luth. Ia disebabkan kaum ini mengamalkan gaya hidup songsang iaitu melakukan hubungan sejenis serta menafikan kenabian Nabi Luth.
Justeru, Allah telah menurunkan bencana yang amat dahsyat - membenamkan kaum ini ke dalam tanah - seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran. Peristiwa tersebut dianggarkan berlaku kira-kira pada 1800 tahun sebelum Masihi.
Berdasarkan kepada sejarah, Laut Mati adalah lokasi di mana kaum tersebut dimusnahkan. Sehingga kini, kesan peninggalan itu masih kekal.
Kemusnahan tersebut telah menyebabkan struktur geografi di kawasan itu turut berubah. Laut Mati pada asalnya dikatakan dataran tanah rata yang bertukar menjadi kawah yang dalam, sehingga membentuk tasik yang luas terbentang. Peristiwa telah menyebabkan pesisir pantai Laut Mati menjadi lembah terendah di muka bumi.


Dari sudut geografi, gunung Everest diiktiraf sebagai titik tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,848 meter dari paras laut, tetapi pesisir pantai Laut Mati pula adalah daratan terendah iaitu berada pada kedudukan 394.6 meter di bawah paras laut. Ia terbentuk sepeti kawah daratan - luas dan lebar - yang berkedudukan lebih rendah daripada permukaan laut.
Sekalipun dikenali sebagai Laut Mati, tetapi ia sebenarnya bukanlah laut. Laut Mati merupakan tasik air masin yang berukuran 67 kilometer panjang dan 18 kilometer lebar. Disebabkan keluasannya yang sangat besar, ia dikenali sebagai laut. Cabang utamanya pula ialah Sungai Jordan.
Disebalik rentetan sejarah dan peristiwa yang berlaku di Laut Mati, Al-Quran turut menyentuh tentang struktur geografinya. Kitab suci umat islam itu telah menerangkan dengan jelas kedudukan tanah rendah pesisir pantai Laut Mati di dalam surah Ar-Rum.
Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya. Dr. Arip Kasmo, ayat satu hingga empat di dalam surah itu telah mengambarkan dengan jelas kedudukan geografi Laut Mati yang merupakan lembah terendah di muka bumi.
Firman Allah yang bermaksud, "Alif, Lam, Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di tanah yang paling rendah (adna) di permukaan bumi (al-ard), dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun. Bagi Allah lah urursan sebelum dan sesudah." (Surah Ar-Rum; ayat 1-4).
Dr. Arip menjelaskan, dalam ayat ketiga surah Ar-Rum itu, kita dimaklumkan bahawa kerajaan Rom telah ditumpaskan di tanah paling rendah dipermukaan bumi. Frasa 'adna' di dalam bahasa Arab diertikan sebagai 'hampir' dalam kebanyakan tafsir. Namun ia bukanlah pengertian literal dari kenyataan yang asal, tetapi lebih berbentuk tafsiran secara kiasan - metaforik.
Perkataan 'adna' dalam bahasa Arab berasal dari perkataan 'daniy' yang bermaksud rendah. Justeru, tafsiran ayat untuk perkataan 'adna al ard' memberi erti kawasan yang paling rendah di muka bumi.
Apa yang menarik, saat penting peperangan yang terjadi di antara empayar Byzantin dan Persia benar-benar terjadi di titk paling renah di muka bumi. Kawasan ini dikenali sebagai Teluk Laut Mati yang terletak di titik persilangan antara tanah Syria, Palestin dan Jordan. Kekalahan tersebut telah menyebabkan Byzantin kehilangan wilayah Jerusalem.
Jelas Dr. Arip lagi, seperkara yang menarik tentang ayat ini juga ialah ramalan tentang Byzantin ke atas tentera Persia. Empayar Byzantin pimpinan maharaja Heraklius ketika itu dijangka akan runtuh. Semua gabenor-gabenor negara menentang Heraklius dan wilayah Mesopotamia, Alicik, Syria, Palestin, Mesir dan Armenia yang sebelum itu berada di bawah jajahan Byzantin telah dicerobohi oleh tentera Persia. Secara ringkas, semua orang menjangka empayar Byzantin akan musnah.
Namun, selepas tujuh tahun ayat pertama surah Ar-Rum ini diturunkan, berlaku Byzantin dan Persia di Ninaveh. Kali ini, tidak disangka-sangka Byzantin akhirnya berjaya menewaskan tentera Persia. Kemenangan tersebut adalah benar seperti apa yang dijelaskan di dalam Al-Quran.
Itulah antara mukjizat dan kehebatan Al-Quran yang bukan saja dapat dibuktikan melalui sains, malah mengetahui perkara yang akan berlaku. Pada ketika ayat ini diturunkan, sudah pasti tiada siapa yang mengetahui altitud sebenar Laut Mati, dan tiada siapa yang mampu mermal kemenangan tentera Byzantin.
Harus diingat, Al-Quran adalah kalam Allah. Kerana Dia lah yang mengetahui segala-galanya, dan Dia juga berhak ke atas apa yang ada di atas muka bumi ini.

Kerana Sumpahan Anjing

Di Tamil Nadu India, seorang petani yang bernama Selvakumar, mengambil keputusan untuk berkahwin dengan seekor anjing betina bagi menghilangkan penderitaan badi haiwan yang ditanggungnya. Anjing betina itu diberi nama Selvi dan dilayan seperti manusia. Perkahwinan pelik ini mendapat liputan akhbar Hindustan Times.
Menurut laporan akhbar berkenaan, Selvakumar telah disumpah oleh roh anjing yang dibunuhnya dengan kejam 15 tahun lalu. Mengikut kisahnya, Selvakumar telah merejam dua ekor anjing hingga mati. Sebelum melakukan rejaman itu, dua ekor binatang itu telah diikat pada sebatang pokok.
Tidak lama selepas itu, petani yang berusia 55 tahun ini mendapat kecelakaan. Secara tiba-tiba, kaki dan tangannya lumpuh, sebelah telinganya pekak dan percakapan menjadi gagap. Selvakumar pun mendapatkan rawatan intensif daripada pakar perubatan tetapi rawatan yang diterimanya tidak berupaya menyembuhkan penyakit aneh itu.
Dia kemudiannya berjumpa dengan ahli Ostrologi bagi menilik nasib malangnya itu. Ahli Ostrologi itu kemudiannya mendiagnosisnya sebagai orang yang kena sumpahan anjing. Haya denagn mengahwini anjing betina saja sumpahan itu dapat dilepaskan.

Kenan

SEWAKTU mengandung, orang perempuan disarankan untuk melakukan perkara yang baik-sama ada perlakuan, tutur kata ataupun amalan-amalan tertentu yang menjurus kepada kebaikan. Dipercayai ia akan memberi kesan yang baik kepada anak yang bakal dilahirkan.
Sebagai contoh, dalam masyarakat islam, seorang ibu mengandung digalakkan untuk membaca surah Maryam, surah Lukman dan surah Yusuf dari kitab suci Al-Quran sepanjang sembilan bulan mengandung. Perkara yang dikatakan mampu mempengaruhi sifat bayi dalam kandungan.
Kepercayaan tentang melakukan perkara baik sewaktu mengandung bukan sahaja dipercayai oleh masyarakat Melayu, tetapi juga masyarakat Cina, India dan lain-lain etnik. Malah kebanyakan budaya di seluruh dunia juga mempercayai perkara tersebut, serta mempunyai amalan dan ritual tertentu tentang perkara itu. boleh dikatakan tidak ada budaya di dunia ini mempunyai ideologi yang berbeza dalam bab ini.
Disebalik amalan kebaikan yang dilakukan, terdapat juga pantang larang yang perlu dihindari oleh wanita hamil. Bagi masyarakat melayu misalnya, seorang ibu yang mengandung dilarang untuk mencaci, menfitnah, iri hati dan juga bergaduh terutama dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai anak yang dikandungkan serta akan mengalami kesulitan ketika bersalin.
Wanita melayu yang mengandung juga tidak digalakkan duduk di atas tangga kerana percaya perkara ini boleh membawa kecelakaan. Orang Cina pula tidak membenarkan wanita mengandung memaku dinding kerana bimbang anak akan menjadi cacat.
Kaum Iban pulak tidak membenarkan kura-kura dibawa masuk ke dalam bilik kerana khuatir bayi akan tersekat ketika dilahirkan. Masyarakat Melanau pula melarang wanita hamil melihat mayat, sekalipun waris terdekat. Manakala bagi masyarakat orang asli pula tidak dibenarkan makan ikan yang berwarna merah kerana takut berlaku tumpah darah.
Dalam banyak-banyak pantang larang tersebut, terdapat beberapa kepercayaan yang menjurus kepada perkara yang sama. Antara yang paling popular ialah dilarang membunuh atau mencederakan haiwan kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat anggota badan, atau bimbang perlakuan perlakuan dan sifat bayi akan menyamai haiwan berkenaan. Hal ini disebut sebagai badi atau kenan.


Malah, perkara ini turut melibatkan si suami. Sebagai contoh, seorang ibu mengandung atau suaminya tidak dibenarkan memancing kerana takut anak di dalam kandungan akan mengalami masalah sumbing.
Sejauh mana benarnya perkara ini, sukar dipastikan. Namun, pantang larang tersebut masih dipercayai sehingga kini, sekalipun kita sudah menjengah era modenisasi. Apa pula penjelasan saintifik mengenai perkara ini?
Menurut Pakar Sakit Puan dari Pusat Perubatan dan Bersalin UMRA Shah Alam, Dr. Mohamed Rafi Mohamed Feizal, dari sudut saintifik pantang larang tersebut dilihat sesuatu yang tiada kaitan dengan kandungan. Sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tetapi ia diwujudkan oleh orang-orang tua zaman dahulu atas sebab-sebab tertentu seperti faktor keselamatan dan emosi ibu dan kandungan.
Jelas Dr. Rafi, kecacatan anggota badan seseorang bayi yang dilahirkan bukan disebabkan oleh kenan. Ia adalah kerana secara semula jadi ataupun disebabkan faktor keturunan. Mungkin bukan daripada kedua ibu bapa, tetapi sekiranya ada ahli keluarga yang jauh sama ada datuk atau nenek, adik-beradik atau pun sepupu, peratusan bayi untuk mengalami perkara yang sama adalah tinggi. Selain itu, kekurangan asid forlic juga menjadi penyumbang kepada perkara ini berlaku. Secara jelas, aktiviti memancing tidak akan menyebabkan perkara masalah sumbing kepada bayi.
Namun menurut Dr.Rafi, ada sesetengah perkara yang dilakukan oleh ibu mengandung boleh menyebabkan kesan secara langsung kepada kandungan. Contohnya, jika seseorang wanita hamil itu meneruskan tabiat menghisap rokok, ia sudah pasti boleh memberi kesan sampingan kepada bayi seperti kecacatan fizikal atau otak. Sama juga halnya jika ibu mengandung mengambil dadah atau alkohol. Apabila dilahirkan, bayi tersebut akan mengalami implikasi ketagihan kerana sewaktu berada dalam kandungan, ia menerima secara terus perlakuan ibunya.
Jelas Dr.Rafi lagi, secara saintifik, bayi di dalam kandungan juga boleh memahami emosi ibunya. Justeru, sekiranya ibu mengalami tekanan mental atau perasaan, ia boleh mempengaruhi emosi bayi. Berkemungkinan bayi akan lahir nanti akan bersifat murung. Mungkin ia menjadi faktor kenapa orang zaman dahulu mewujudkan pantang larang ketika mengandung.
Bagaimanapun menurut Dr.Rafi, sekiranya masalah kenan ini berlaku, ia hanya kebetulan sahaja kerana ada sesetengah perkara mampu diperjelaskan secara saintifik.