Cari Tajuk Maklumat

Jumaat, 18 Jun 2010

Kenan

SEWAKTU mengandung, orang perempuan disarankan untuk melakukan perkara yang baik-sama ada perlakuan, tutur kata ataupun amalan-amalan tertentu yang menjurus kepada kebaikan. Dipercayai ia akan memberi kesan yang baik kepada anak yang bakal dilahirkan.
Sebagai contoh, dalam masyarakat islam, seorang ibu mengandung digalakkan untuk membaca surah Maryam, surah Lukman dan surah Yusuf dari kitab suci Al-Quran sepanjang sembilan bulan mengandung. Perkara yang dikatakan mampu mempengaruhi sifat bayi dalam kandungan.
Kepercayaan tentang melakukan perkara baik sewaktu mengandung bukan sahaja dipercayai oleh masyarakat Melayu, tetapi juga masyarakat Cina, India dan lain-lain etnik. Malah kebanyakan budaya di seluruh dunia juga mempercayai perkara tersebut, serta mempunyai amalan dan ritual tertentu tentang perkara itu. boleh dikatakan tidak ada budaya di dunia ini mempunyai ideologi yang berbeza dalam bab ini.
Disebalik amalan kebaikan yang dilakukan, terdapat juga pantang larang yang perlu dihindari oleh wanita hamil. Bagi masyarakat melayu misalnya, seorang ibu yang mengandung dilarang untuk mencaci, menfitnah, iri hati dan juga bergaduh terutama dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai anak yang dikandungkan serta akan mengalami kesulitan ketika bersalin.
Wanita melayu yang mengandung juga tidak digalakkan duduk di atas tangga kerana percaya perkara ini boleh membawa kecelakaan. Orang Cina pula tidak membenarkan wanita mengandung memaku dinding kerana bimbang anak akan menjadi cacat.
Kaum Iban pulak tidak membenarkan kura-kura dibawa masuk ke dalam bilik kerana khuatir bayi akan tersekat ketika dilahirkan. Masyarakat Melanau pula melarang wanita hamil melihat mayat, sekalipun waris terdekat. Manakala bagi masyarakat orang asli pula tidak dibenarkan makan ikan yang berwarna merah kerana takut berlaku tumpah darah.
Dalam banyak-banyak pantang larang tersebut, terdapat beberapa kepercayaan yang menjurus kepada perkara yang sama. Antara yang paling popular ialah dilarang membunuh atau mencederakan haiwan kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat anggota badan, atau bimbang perlakuan perlakuan dan sifat bayi akan menyamai haiwan berkenaan. Hal ini disebut sebagai badi atau kenan.


Malah, perkara ini turut melibatkan si suami. Sebagai contoh, seorang ibu mengandung atau suaminya tidak dibenarkan memancing kerana takut anak di dalam kandungan akan mengalami masalah sumbing.
Sejauh mana benarnya perkara ini, sukar dipastikan. Namun, pantang larang tersebut masih dipercayai sehingga kini, sekalipun kita sudah menjengah era modenisasi. Apa pula penjelasan saintifik mengenai perkara ini?
Menurut Pakar Sakit Puan dari Pusat Perubatan dan Bersalin UMRA Shah Alam, Dr. Mohamed Rafi Mohamed Feizal, dari sudut saintifik pantang larang tersebut dilihat sesuatu yang tiada kaitan dengan kandungan. Sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tetapi ia diwujudkan oleh orang-orang tua zaman dahulu atas sebab-sebab tertentu seperti faktor keselamatan dan emosi ibu dan kandungan.
Jelas Dr. Rafi, kecacatan anggota badan seseorang bayi yang dilahirkan bukan disebabkan oleh kenan. Ia adalah kerana secara semula jadi ataupun disebabkan faktor keturunan. Mungkin bukan daripada kedua ibu bapa, tetapi sekiranya ada ahli keluarga yang jauh sama ada datuk atau nenek, adik-beradik atau pun sepupu, peratusan bayi untuk mengalami perkara yang sama adalah tinggi. Selain itu, kekurangan asid forlic juga menjadi penyumbang kepada perkara ini berlaku. Secara jelas, aktiviti memancing tidak akan menyebabkan perkara masalah sumbing kepada bayi.
Namun menurut Dr.Rafi, ada sesetengah perkara yang dilakukan oleh ibu mengandung boleh menyebabkan kesan secara langsung kepada kandungan. Contohnya, jika seseorang wanita hamil itu meneruskan tabiat menghisap rokok, ia sudah pasti boleh memberi kesan sampingan kepada bayi seperti kecacatan fizikal atau otak. Sama juga halnya jika ibu mengandung mengambil dadah atau alkohol. Apabila dilahirkan, bayi tersebut akan mengalami implikasi ketagihan kerana sewaktu berada dalam kandungan, ia menerima secara terus perlakuan ibunya.
Jelas Dr.Rafi lagi, secara saintifik, bayi di dalam kandungan juga boleh memahami emosi ibunya. Justeru, sekiranya ibu mengalami tekanan mental atau perasaan, ia boleh mempengaruhi emosi bayi. Berkemungkinan bayi akan lahir nanti akan bersifat murung. Mungkin ia menjadi faktor kenapa orang zaman dahulu mewujudkan pantang larang ketika mengandung.
Bagaimanapun menurut Dr.Rafi, sekiranya masalah kenan ini berlaku, ia hanya kebetulan sahaja kerana ada sesetengah perkara mampu diperjelaskan secara saintifik.


1 ulasan: