Cari Tajuk Maklumat

Jumaat, 18 Jun 2010

Lembah Paling Rendah Di Muka Bumi





Laut Mati yang terletak di sempadan Palestin, Jordan dan Israel, suatu ketika dahulu pernah mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam peradaban manusia. Kesan peninggalan itu masih kekal sehingga kini dan ia terus menjadi sejarah.
Peristiwa yang paling sinonim dengan Laut Mati ialah kemusnahan kaum sodomi iaitu kaum nabi Luth. Ia disebabkan kaum ini mengamalkan gaya hidup songsang iaitu melakukan hubungan sejenis serta menafikan kenabian Nabi Luth.
Justeru, Allah telah menurunkan bencana yang amat dahsyat - membenamkan kaum ini ke dalam tanah - seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran. Peristiwa tersebut dianggarkan berlaku kira-kira pada 1800 tahun sebelum Masihi.
Berdasarkan kepada sejarah, Laut Mati adalah lokasi di mana kaum tersebut dimusnahkan. Sehingga kini, kesan peninggalan itu masih kekal.
Kemusnahan tersebut telah menyebabkan struktur geografi di kawasan itu turut berubah. Laut Mati pada asalnya dikatakan dataran tanah rata yang bertukar menjadi kawah yang dalam, sehingga membentuk tasik yang luas terbentang. Peristiwa telah menyebabkan pesisir pantai Laut Mati menjadi lembah terendah di muka bumi.


Dari sudut geografi, gunung Everest diiktiraf sebagai titik tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,848 meter dari paras laut, tetapi pesisir pantai Laut Mati pula adalah daratan terendah iaitu berada pada kedudukan 394.6 meter di bawah paras laut. Ia terbentuk sepeti kawah daratan - luas dan lebar - yang berkedudukan lebih rendah daripada permukaan laut.
Sekalipun dikenali sebagai Laut Mati, tetapi ia sebenarnya bukanlah laut. Laut Mati merupakan tasik air masin yang berukuran 67 kilometer panjang dan 18 kilometer lebar. Disebabkan keluasannya yang sangat besar, ia dikenali sebagai laut. Cabang utamanya pula ialah Sungai Jordan.
Disebalik rentetan sejarah dan peristiwa yang berlaku di Laut Mati, Al-Quran turut menyentuh tentang struktur geografinya. Kitab suci umat islam itu telah menerangkan dengan jelas kedudukan tanah rendah pesisir pantai Laut Mati di dalam surah Ar-Rum.
Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya. Dr. Arip Kasmo, ayat satu hingga empat di dalam surah itu telah mengambarkan dengan jelas kedudukan geografi Laut Mati yang merupakan lembah terendah di muka bumi.
Firman Allah yang bermaksud, "Alif, Lam, Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di tanah yang paling rendah (adna) di permukaan bumi (al-ard), dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun. Bagi Allah lah urursan sebelum dan sesudah." (Surah Ar-Rum; ayat 1-4).
Dr. Arip menjelaskan, dalam ayat ketiga surah Ar-Rum itu, kita dimaklumkan bahawa kerajaan Rom telah ditumpaskan di tanah paling rendah dipermukaan bumi. Frasa 'adna' di dalam bahasa Arab diertikan sebagai 'hampir' dalam kebanyakan tafsir. Namun ia bukanlah pengertian literal dari kenyataan yang asal, tetapi lebih berbentuk tafsiran secara kiasan - metaforik.
Perkataan 'adna' dalam bahasa Arab berasal dari perkataan 'daniy' yang bermaksud rendah. Justeru, tafsiran ayat untuk perkataan 'adna al ard' memberi erti kawasan yang paling rendah di muka bumi.
Apa yang menarik, saat penting peperangan yang terjadi di antara empayar Byzantin dan Persia benar-benar terjadi di titk paling renah di muka bumi. Kawasan ini dikenali sebagai Teluk Laut Mati yang terletak di titik persilangan antara tanah Syria, Palestin dan Jordan. Kekalahan tersebut telah menyebabkan Byzantin kehilangan wilayah Jerusalem.
Jelas Dr. Arip lagi, seperkara yang menarik tentang ayat ini juga ialah ramalan tentang Byzantin ke atas tentera Persia. Empayar Byzantin pimpinan maharaja Heraklius ketika itu dijangka akan runtuh. Semua gabenor-gabenor negara menentang Heraklius dan wilayah Mesopotamia, Alicik, Syria, Palestin, Mesir dan Armenia yang sebelum itu berada di bawah jajahan Byzantin telah dicerobohi oleh tentera Persia. Secara ringkas, semua orang menjangka empayar Byzantin akan musnah.
Namun, selepas tujuh tahun ayat pertama surah Ar-Rum ini diturunkan, berlaku Byzantin dan Persia di Ninaveh. Kali ini, tidak disangka-sangka Byzantin akhirnya berjaya menewaskan tentera Persia. Kemenangan tersebut adalah benar seperti apa yang dijelaskan di dalam Al-Quran.
Itulah antara mukjizat dan kehebatan Al-Quran yang bukan saja dapat dibuktikan melalui sains, malah mengetahui perkara yang akan berlaku. Pada ketika ayat ini diturunkan, sudah pasti tiada siapa yang mengetahui altitud sebenar Laut Mati, dan tiada siapa yang mampu mermal kemenangan tentera Byzantin.
Harus diingat, Al-Quran adalah kalam Allah. Kerana Dia lah yang mengetahui segala-galanya, dan Dia juga berhak ke atas apa yang ada di atas muka bumi ini.

1 ulasan: